Perginya seorang yang diingati...

Posted by Sabrina On Saturday, February 20, 2010 4 comments
Jam menunjukkan 8.30 pagi. Ketika itu kami dalam perjalanan untuk menziarahi jenazah rakan sekerja yang mengalami serangan jantung dan meninggal dunia. Rakan-rakan memberitahu bahawa arwah akan dikebumikan tepat jam 12.00 tengahari. Hati kecil saya berbisik sendiri,

"Pukul 12.00 tengahari? Isk matahari terpacak atas kepala tu! Panasnya nanti..."

Cuaca ketika ini memang amat panas terutamanya bila menjelang tengahari. Panas yang membahang terasa lain macam benar akhir-akhir ini. Memang saya telah berniat untuk menghantar jenazah hingga ke tanah perkuburan. Jadi, mahu tak mahu redha dan terima sahaja apa jua cuacanya.

Setibanya kami di rumah jenazah, kelihatan ramai sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan yang sedang menziarah. Hati saya berdebar-debar dan bercampur sayu. Arwah merupakan suami kepada kenalan saya, Kak Ani.

Secara peribadi, saya mengagumi arwah yang begitu mencintai Kak Ani. Segala urusan rumahtangga dilakukan arwah dengan penuh keredhaan demi cintanya kepada Kak Ani. Kata Kak Ani, itu janji mereka yang telah termeteri sejak sebelum berkahwin. Memang benar, semua urusan rumahtangga yang biasa dilakukan oleh para isteri digalas oleh arwah dan menurut kak Ani, arwah tidak pernah merungut. Pernah sekali saya dan rakan-rakan bertandang ke rumah arwah dan kami dihidangkan dengan menu Spageti Special air tangan arwah.

Selain itu, arwah juga turut banyak membantu saya dalam urusan kerja di Pejabat. Antara hasil kerja arwah yang sedang saya gunakan sekarang dan mungkin hingga akan datang ialah Sistem Paparan Nama Graduan di skrin layar. Enjin sistem itu telah dibangunkan arwah dan Unit saya pula ditugaskan untuk mengendalikannya.

Al Fatihah... itulah hadiah yang mampu saya berikan buat insan hebat di hadapan saya sekarang. Masyaallah... Arwah seakan-akan sedang tersenyum dalam lena. Hati saya begitu tenang sekali. Masakan tidak begitu. Arwah meninggalkan 3 anak lelaki dan salah seorang daripadanya telah pun bergelar Al Hafiz. Dan tiba-tiba baru saya teringat yang arwah baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadat Haji. Urusannya di dunia memang sudah selesai. Aman sekali dapat meninggalkan dunia dalam keadaan yang serba selesai. Tiba-tiba saya teringat tentang diri saya. Banyak lagi yang belum selesai...

"Ya Allah, mudah-mudahan ini menjadi peringatan buat diriku."

Jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan. Saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari rumah arwah hingga ke tanah perkuburan yang jaraknya saya rasa boleh tahan juga jauhnya kalau berjalan kaki. Sepanjang perjalanan, cuaca tengahari kali ini amat dingin dan menyamankan. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Awan tipis bertebaran di dada langit menapis cahaya matahari seadanya. Berbeza sekali dengan tengahari-tengahari yang sebelumnya membahang dan menggigit kulit kepala. Subhanallah! Berbahagialah arwah di sana. Saya dapat merasakan cuaca hari ini seakan-akan petanda perginya seorang yang diredhai. Ini hanya telahan saya. Saya bukanlah seorang ustazah tetapi hati kecil seakan-akan mengiakan bahawa yang pergi pada hari ini bukan calang-calang orang.

Setibanya kami di masjid, kelihatan solat jenazah masih lagi dilakukan. Kami menunggu sehingga jenazah dikeluarkan untuk disemadikan. Saya tidak dapat melihat dari dekat jenazah kerana hadirin yang begitu ramai ketika itu. Segalanya berlangsung dengan lancar. Sekali lagi saya mendongak ke langit dan melihat awan tipis menaungi kawasan perkuburan tersebut. Tengahari yang begitu redup dan mendamaikan.

Seorang rakan memberitahu (hasil perbualan beliau dengan adik arwah),

"Arwah ni sebijik macam arwah bapa dia. Sejak mengaji, tak pernah tinggal tahajjud."

Tak pernah meninggalkan solat tajahajjud? Itulah juga yang sering saya dengar bila bersama-sama dengan Kak Ani. Saya suka mendengar cerita Kak Ani dan keluarganya terutamanya bila tiba bulan Ramadhan. Daripada yang kecil sehinggalah yang sulung, semuanya akan mengerjakan tahajjud. Dan saya pasti, arwah telah memberikan didikan sempurna kepada isteri dan anak-anaknya. Sehingga saat saya menulis inipun saya yakin, tahajjud telah menjadi amalan wajib dalam keluarga arwah.

Sesungguhnya mati itu kiamat kecil bagi diri manusia. Sudahkah benar-benar kita bersedia sedang kedatangannya tanpa diduga? Marilah sama-sama kita profesionalkan pengurusan masa kita.
Mudah-mudahan cerita saya ini dapat menjadi perkongsian bermakna untuk semua. Wallahua'lam....

4 comments to Perginya seorang yang diingati...

  1. says:

    Cantiknyapurple Semua orang terkesima..
    Al-Fatihah...

  1. says:

    naga78 Takziah buat keluarga allahyarham (saranan dari Ust. Ismail Kamus katanya ada unsur doa )

    Saya sebagai ahli team futsal yang pernah bermain bersama berasa kehilangan beliau .

    Tidak disangka pada malam tersebut saya berada juga ditempat kejadian , sebelum allahyarham rebah beliau tidak menunjukkan tanda tanda serangan jantung .

    Ajal maut tuhan tentukan yang penting kira melakukan sebanyak mana kebaikan dan mengelak dari melakukan kesalahan dosa . Itu yang paling penting . mahu tak mahu takut adtau bersedia kematian pasti datang kepada semua yang bernyawa dan alam ini pun pasti lenyap .

  1. says:

    Fasha Al-Fatihah buat Allahyarham En.Jazmi semuga rohmu bersama-sama orang-orang yang dirahmati dan diberkati Allah.Buat kak Ani sabarlah dengan ketentuan Illahi kita juga tidak terlepas dari saat-saat yang genting itu.

  1. says:

    Sabrina al fatihah... dah lebih 5 bulan arwah meninggalkan kita semua...

Post a Comment